Posts Tagged ‘Luar Negara’

Bercuti ikut bajet elak tanggung hutang

Cuti sekolah yang panjang kini sudah tiba. Pastinya ibu bapa juga sibuk memikirkan aktiviti yang boleh dilakukan anak- anak sepanjang cuti sekolah.

Selain merancang aktiviti anak-anak untuk mengikuti pelbagai kelas kemahiran dan kreativiti atau bersiar-siar, apa kata luangkan sedikit masa membawa mereka ke destinasi percutian bagi melegakan minda yang sentiasa dibebani pelajaran dan aktiviti sekolah.

Tidak kira bercuti di dalam atau luar negara, yang paling penting perlulah merancang percutian mengikut kemampuan atau bajet yang ditetapkan.

Ini kerana jika bercuti tanpa membuat perancangan terlebih dulu boleh menyebabkan kita terpaksa menanggung hutang selepas pulang bercuti dan akhirnya secara tidak langsung mengganggu perjalanan kewangan harian anda.

Langkah pertama yang boleh dilakukan ialah dengan membuat senarai apa yang perlu dilakukan dan anggaran perbelanjaan sebelum pergi bercuti. Ini termasuk penginapan, makan, minum, pengangkutan dan bayaran lain seperti tol dan cenderahati.

Layari internet atau membaca iklan di akhbar untuk mengetahui lebih lanjut keistimewaan tempat yang bakal dikunjungi untuk mendapat idea sebelum tiba di tempat itu.

Jika bajet tidak mengizinkan untuk bermalam di satu-satu destinasi yang menarik, rancanglah percutian untuk sehari saja.

Tempat menarik seperti kawasan perkelahan di sungai dan laut yang berhampiran kediaman juga boleh dijadikan lokasi untuk membawa anak- anak menghabiskan masa lapang mereka.

Selain itu, taman awam seperti taman botani serta Taman wetland, masing- masing di putrajaya dan di sekitar Tasik Perdana, kuala Lumpur juga antara lokasi yang menarik untuk membawa anak-anak menghabiskan cuti sekolah.

Bagi yang mempunyai bajet yang lebih, tidak salah keluar dari Kota untuk ke destinasi pelancongan menarik di Malaysia seperti melaka. Pulau Pinang dan pantai timur.

Anda juga boleh mengambil kesempatan bermalam di destinasi pelancongan itu dengan memilih hotel atau resort yang sesuai dengan bajet ditetepkan.

Meneroka pekan dan Bandar kecil di dalam negara adalah satu daripada aktiviti yang boleh dilakukan bagi mengeratkan lagi hubungan keluarga. Ramai yang tidak mengetahui pekan kecil negara ini menyimpan seribu satu keistimewaan termasuk seni bina bangunanya, cenderahati yang jual dan makananya.

Jadilah, pengguna yang baik dan pelancong yang berhemah dalam merancang percutian supaya tidak terlebih bajet yang boleh menyebabkan mood selepas bercuti juga terganggu akibat daripada gangguan perjalanan kewangan.

Apa- apapun, bawalah anak-anak anda bercuti sambil meneroka Malaysia kerana terlalu banyak lokasi percutian yang menarik di negara ini yang standing dengan negara luar.

Panduan bercuti:

• Senaraikan bajet membabitkan penginapan, makanan,
pengangkutan, told dan minyak.
• Pilih lokasi melancong, semak harga dan buat tempahan awal.
• Baca iklan dalam akhbar mengenai penginapan yang sesuai untuk
lokasi pelancongan.
• Membawa bekalan makanan yang kering seperti serunding dan air
botol.
• Pastikan membawa pakaian yang bersesuaian dengan tempat
bercuti misalnya di pantai atau tanah tinggi bagi mengelakkan
anda terpaksa membeli secara bidan terjun.